Taip Bahan Carian

Khamis, 1 April 2021

Buruh Cabul Gadis Jalan Kaki Dipenjara Setahun

 


Seorang lelaki dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita pada 25 Mac lalu.

Tertuduh, Amran Abdullah, 52, yang bekerja sebagai buruh di sebuah kedai besi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Dalam pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan dengan menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Hamzah, Lorong Limau Manis, Kota Bharu, kira-kira jam 9.40 pagi, pada 25 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Pendakwaan dikenalikan Timbalan Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.


Menurut fakta kes, Amran menunggang motosikal di lokasi kejadian dan apabila tiba dari arah belakang wanita itu, dia bertanya sama ada mahu berkahwin dengannya atau tidak.

Bagaimanapun, wanita itu menolak pelawaan tertuduh sebelum dia beredar selepas sebuah kereta kebetulan lalu di kawasan itu.

Selepas itu, Amran datang menyekat wanita berkenaan sekali lagi dan menyentuh punggung mangsa sebelum terus beredar.

Terdahulu, Siti Edabayu meminta agar mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau bersabit kes yang sama sebelum ini.

"Tertuduh telah melakukan kesalahan berat kerana telah mencabul kehormatan mangsa. Justeru, hukuman yang setimpal dikenakan juga mengambil kira aspek kepentingan awam," katanya.

 


Sementara itu Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan kerana tertuduh merupakan satu-satunya individu menanggung kedua ibu bapa yang sudah lanjut usia.

"Tertuduh telah pun menerima hukuman daripada masyarakat kerana kes ini sudah tular di media sosial. Ia sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya.

Terdahulu, perbuatan tertuduh itu viral di media sosial susulan tersebarnya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ditahan polis 27 Mac lalu.

Sumber:
https://www.malaysiakini.com/news/568873

BELI SEKARANG

Lazada

Shopee


Tiada ulasan:

Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...