Taip Bahan Carian

Sabtu, 6 Februari 2021

Ubat Kumur Povidone Iodin Bunuh 99.99% COVID


Berkumur dengan cecair antiseptik boleh mengurangkan risiko seseorang dijangkiti virus penyebab Covid-19.

Selain itu, ia juga menghalang seseorang daripada menyebarkan virus Covid-19 kepada individu lain.

Ia boleh dilakukan selepas pulang dari tempat berisiko seperti pasar dan tempat kerja. Ini boleh membantu menghindarkan golongan berisiko seperti warga emas dan pesakit kencing manis mendapat jangkitan.

Selain itu, digalakkan juga seseorang berkumur sebelum bertemu golongan berisiko ini.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, perkara ini turut disokong hasil beberapa kajian makmal dan kajian ke atas manusia yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

Menurutnya, kajian makmal itu membuktikan kebanyakan cecair kumur yang berada di pasaran berupaya membunuh virus SARS-CoV-2 dengan berkesan.

"Walaupun, kajian klinikal ke atas pesakit Covid-19 membabitkan jumlah peserta agak kecil, ia menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

"Tidak salah jika kita mempergiatkan usaha pencegahan. Pada masa sama, kerap mencuci tangan, mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka pula perlu diteruskan," katanya.

Beliau berkata, virus SARS-CoV-2 memasuki badan melalui mata, hidung dan mulut.

"Kemudian, virus ini akan melekat pada reseptor ACE-2 yang banyak terdapat di dalam mulut dan hidung, sebelum memasuki serta menjangkiti sel.

"Virus yang ada di dalam mulut dan hidung boleh tersebar ke udara serta menjangkiti orang lain sekiranya pesakit bercakap, bersin atau batuk," katanya.

Dr Nurul Azmawati berkata, semakin tinggi jumlah virus, semakin banyak virus yang boleh disebarkan.

"Pada sebilangan kecil pesakit, virus ini turut menjangkiti sel di paru-paru.

"Berdasarkan fakta ini, saintis dan pakar berpendapat jika virus di dalam mulut serta hidung dapat dikurangkan, risiko penyebaran virus dapat diminimumkan.

"Cecair kumur yang mengandungi antiseptik dilihat dapat membantu membunuh virus ini," katanya.

Menurut beliau, terdapat pelbagai jenis cecair kumur di pasaran yang kebanyakannya dihasilkan untuk membunuh bakteria di dalam mulut, mengelakkan bau mulut dan mencegah kerosakan gigi.

"Tetapi sepanjang pandemik ini, banyak kajian 'in-vitro' (di dalam makmal) dijalankan untuk melihat keberkesanan cecair kumur terhadap virus SARS-CoV-2.

"Kajian 'in-vivo' (ke atas manusia) juga dilakukan bagi mengetahui keberkesanan cecair kumur dalam kalangan pesakit yang positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, kumpulan beliau bekerjasama dengan kumpulan penyelidik ternama dari Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) dan Universiti Malaya menjalankan kajian menggunakan pengkulturan virus ke atas sel hidup.

"Kami mendapati, cecair kumur yang mengandungi povidone-iodin berupaya membunuh 99.99 peratus virus SARS-CoV-2 dalam masa sekurang-kurangnya selepas 15 saat.

'The Journal of Infectious Disease' terbitan 'Infectious Diseases Society of America' pula mendedahkan kajian makmal yang mengkaji keberkesanan lapan jenis cecair kumur antiseptik di pasaran.

"Penyelidik mendapati cecair kumur yang mengandungi 'dequalinium klorida polyvidone iodin' dan minyak pati sangat efektif membunuh virus.

"Cecair kumur yang mengandungi hidrogen peroksida, klorheksidin, oktenidin dan plohexanide pula kurang berkesan," katanya.

Dr Nurul Azmawati berkata, kajian makmal lain yang diterbitkan dalam Journal of Prosthodontics mendapati, selepas 15 dan 30 saat pendedahan, cecair kumur povidone iodin berkepekatan 0.5 hingga 15 peratus membunuh hampir semua virus SARS-CoV-2.

"Hidrogen peroksida berkepekatan 1.5 dan tiga peratus pula menunjukkan kesan yang sangat minimum," katanya.

Sementara itu, katanya, kajian ke atas pesakit Covid-19 pula dilakukan menerusi kajian klinikal dengan kerjasama kumpulan antara Usim dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) apabila pesakit Covid-19 diminta berkumur dengan povidone-iodin, minyak pati dan air paip tiga kali sehari selama tujuh hari.

"Berdasarkan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) pada hari kelima (selepas empat hari berkumur) mendapati 100 peratus yang berkumur dengan povidone iodin, 80 peratus pati minyak dan 40 peratus air paip memperoleh keputusan negatif.

"Keputusan yang sama diperoleh untuk ujian PCR pada hari ketujuh dan ke-10," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kajian diterbitkan jurnal 'Oral Diseases' menjelaskan virus di dalam air liur dua daripada empat pesakit Covid-19 berkurangan dengan signifikan setelah berkumur dengan cecair povidone iodin.

"Bahkan virus ini tidak dapat dikesan sekurang-kurangnya tiga jam selepas berkumur.

"Kajian yang dilakukan di Singapura pula mengkaji keberkesanan tiga jenis cecair kumur iaitu povidon-iodin, chlorhexidine gluconate dan cetylpyridinium chloride dalam kalangan pesakit Covid-19.

"Ujian PCR dilakukan selepas lima minit, tiga dan enam jam berkumur mendapati, jumlah virus (viral load) berkurang dengan signifikan seawal lima minit sehingga sekurang-kurangnya enam jam setelah berkumur menggunakan povidone-iodin dan cetylperidinium chloride," katanya.

Tiada ulasan:

Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...