Taip Bahan Carian

Khamis, 16 April 2020

UPSR Dan PT3 2020 Dibatalkan


UPSR Dan PT3 2020 Dibatalkan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan memutuskan untuk membatalkan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung Covid-19.

Keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

Manakala tarikh peperiksaan Semester 2 bagi calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diubah kepada bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

Menteri Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

”Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), PM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

”Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah
baharu akan diperkenalkan.

”Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

”KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan pun, akses murid kepada PdP tetap diberikan keutamaan. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid.,” katanya dalam satu sidang media di sini sebentar tadi.

Mohd Radzi menambah, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan ini hanya akan dibuat apabila KPM benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.

Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM, Sijil Tinggi STAM dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Pengumuman pembukaan sekolah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

”Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan.

”KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar dan Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...