Buku elektronik atau e-Book adalah kaedah pembelajaran terkini yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara sekali gus menyaksikan permulaan satu fasa baru dalam proses pembelajaran sedia ada.
Tidak bermaksud menggantikan sistem pembelajaran konservatif, e-book lebih mudah menarik perhatian pelajar sementelah lagi dengan penggunaan sistem berbentuk interaktif, ia lebih komprehensif dan praktikal.
Bagaimanapun, suara sumbang yang mempertikai penggunaan e-Book pasti ada apatah lagi kaedah pembelajaran ini dikatakan masih terlalu baru selain sukar menukar kaedah pembelajaran tradisi.
Justeru, mampukah e-Book menukar tradisi itu sekali gus memberi peluang dunia pendidikan negara beranjak ke corak pembelajaran lebih dinamik dan moden.
Pensyarah Kanan Jabatan Multimedia Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Amir Rizaan Rahiman berkata, penggunaan e-Book sebagai kaedah pembelajaran terkini perlu dipraktik dan diperluaskan bagi menyaingi perkembangan pengajaran dan pembelajaran moden serta perkembangan globalisasi.
Beliau berkata, biarpun kaedah pembelajaran tradisi seperti penggunaan buku teks masih relevan, keperluan bagi mengisi permintaan maklumat tanpa batasan menyebabkan kaedah berbentuk digital perlu diperkenalkan.
“e- Book adalah satu kaedah pembelajaran baru yang dicipta bagi menyaingi perkembangan dunia maklumat tanpa sempadan.
“Dengan perkembangan dan kecanggihan teknologi maklumat, penggunaan e-Book lebih sesuai dalam sistem pembelajaran dan pengajaran (P&P).
“Tapi, ini tidak bermakna kaedah P&P sedia ada tidak boleh digunakan sebaliknya gabungan kedua-duanya boleh menghasilkan keputusan lebih baik,” katanya.
Penggunaan e-Book semakin berkembang di seluruh dunia dengan kebanyakan negara sudah mengaplikasikan seperti Portugal, Venezuela, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat.
Inisiatif penggunaan e-Book di negara ini dirintis di Terengganu pada 2009 dengan pengagihan 25,000 unit e-Book iaitu mini laptop yang dilengkapi pelbagai perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa-doa dan amalan solat yang boleh digunakan pelajar tahun lima.
Penggunaan e-Book diperkenal secara berperingkat dalam sektor pendidikan negara dengan sasaran memberi pendedahan kaedah pembelajaran secara interaktif.
Ia juga bagi mengurangkan bebanan pelajar yang terpaksa membawa bebanan buku ke sekolah sekali gus mengurangkan rungutan ramai pihak.
Malah, e-Book mempunyai banyak kelebihan lain, antaranya memudahkan pelajar membaca buku tanpa beban yang berat berbanding buku cetakan di pasaran.
Manakala teks dalam e-Book juga boleh dicari dengan mudah, atau dirujuk silang menggunakan hyperlink.
Dr Amir Rizaan berkata, meskipun pengenalan kaedah pembelajaran e-Book dianggap baru dalam dunia pendidikan moden, penggunaan kaedah sama sudah mula digunakan sejak 1949 oleh seorang guru, Angela Lois di Sepanyol.
“Ini bermakna sudah 65 tahun kaedah e-Book digunakan. Cuma pada waktu itu mungkin kandungan atau penggunaannya sangat terhad dan dalam bentuk teks.
“Apa yang penting, pada waktu itu, manusia sudah berpandangan jauh ke depan. Apa salahnya kita juga berubah untuk menyaingi keperluan masa depan?” katanya.
Malah, penggunaan kaedah e-Book dilihat sangat praktikal dan mampu meningkatkan lagi pengembangan maklumat dan ilmu dalam sistem pendidikan negara.
“Tiada sebab untuk tidak melaksanakan penggunaan e-Book bagi menyokong transformasi sistem pendidikan negara kita.
“Malah, dengan penggunaan lebih praktikal dan mudah, e - Book adalah mekanisme ideal untuk mengurangkan bebanan pelajar yang terpaksa membawa banyak buku selama ini.
“Dengan hanya penggunaan tablet, semua maklumat sudah tersedia, pelajar berpeluang menikmati keselesaan pembelajaran manakala guru pula boleh mempelbagaikan mekanisme pengajaran,” katanya menganggap gabungan pelbagai kaedah pembelajaran mampu membantu pelajar menghasilkan pencapaian lebih cemerlang.
“Suasana P&P yang membosankan adalah antara punca pelajar hilang fokus atau tidak minat belajar.
“Justeru, gabungan kedua-dua atau pelbagai kaedah lain adalah kaedah boleh diguna pakai untuk mengatasi masalah itu.
“Kita perlu sedar, pelajar hari ini bukan seperti dulu. Mereka terdedah dengan kepantasan teknologi maklumat dan sudah tentu ia satu daya tarikan kuat bagi golongan itu,” katanya.
Guru juga, katanya, harus sedar mengenai kelebihan ini dan menggunakannya bagi menarik perhatian pelajar.
“Banyak kelebihan e-Book yang boleh digunakan guru, antaranya menggunakan kaedah ini untuk menambah atau memupuk minat pelajar kepada ilmu atau membuat pelajar lebih proaktif dalam kelas dengan kuasa tarikan yang ada dalam e-Book contohnya kepelbagaian warna atau tarikan gambar, multimedia dan audio.
“Saya tidak kata kaedah yang digunakan selama ini tidak relevan tapi kita juga mesti sedar keperluan dan kehendak pelajar juga sudah berbeza,” katanya.
Mengenai tahap kesediaan penggunaan e-Book, katanya kementerian perlu memastikan mempunyai guru terlatih bagi memudahkan kaedah pembelajaran ini.
“Itu antara aspek perlu dipertimbangkan biarpun secara keseluruhan boleh dikatakan pelajar hari ini memang terdedah dengan penggunaan teknologi.
“Biarpun e-Book memang diperlukan, setiap perubahan perlu melalui satu penelitian khusus supaya tidak timbul masalah.
“Bimbingan kepada guru perlu diambil kira kerana mereka juga perlukan latihan untuk mengaplikasikannya dalam bilik darjah,” katanya.
http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan