Ahad, 26 Disember 2021

Tip Kereta Tenggelam Sebab Banjir

Ikut 9 tip di bawah ini apabila kereta anda tenggelam air:

 

TIPS KALAU KERETA KENA BANJIR

1. HUBUNGI SYARIKAT INSURANS
Perkara pertama harus dibuat, hubungi syarikat insurans. Ada insurans menawarkan perlindungan banjir dalam pakej komprehensif, tetapi ada yang mengenakan caj tambahan berasingan. Apapun, sila tanya pegawai khidmat pelanggan insurans anda.
Sekiranya tiada, anda masih ada peluang meminta khidmat menunda kereta anda ke bengkel. Ini servis standard yang biasa ditawarkan semua syarikat insurans, tetapi berbeza mengikut jarak tundaan dibuat.

2. JANGAN HIDUPKAN ENJIN
Antara kesilapan besar dilakukan pemandu adalah cuba menghidupkan enjin dengan memulas kunci kereta sebaik saja selepas bnjir reda. Cubaan ini sebenarnya berisiko menyebabkan kerosakan lebih teruk yang menelan kos baik pulih lebih mahal. Ikut langkah-langkah betul di bawah.

3. KENAL PASTI KEDALAMAN KERETA TENGGELAM

Selepas banjir surut, lumpur dan selut akan meninggalkan garis air pada bahagian luaran dan dalaman kereta. Syarikat insurans akan menilai tahap kerosakan berdasarkan paras air yang menenggelamkan kereta anda. Kos baik pulih akan lebih tinggi jika kereta ditenggelami air hingga melepasi aras papan pemuka.

Jika air cuma naik terlalu tinggi melepas pintu, kereta anda biasanya masih selamat untuk dibaik pulih.

4. KERINGKAN KABIN KERETA

Garis lumpur dan selut hanya berguna untuk menilai tahap kenderaan ditenggelami air. Namun, kita tidak tahu seberapa banyak air yang masih ada dalam kereta. Jadi, pintu dan tingkap perlu dibuka, serta letakkan tuala atas lantai untuk mengesan sebarang kehadiran air dalam kabin.

Ini juga membantu anda menggantikan barangan yang terjejas akibat banjir seperti karpet lantai, panel pintu, dan pelapik kerusi. Ingat, kerosakan itu mungki n turut dilindungi polisi insurans komprehensif anda.

5. PERIKSA MINYAK DAN  PENAPIS UDARA
Jika nampak titis air pada dipstik (atau tolok minyak) atau paras minyak enjin tinggi, atau terdapat air dalam penapis udara, jangan sesekali cuba menghidupkan enjin.

Terus tunda kereta ke bengkel untuk menyingkirkan air dan menukar minyak enjin, termasuk bendalir lain. Jika mahir, boleh cuba tukar minyak enjin dan penapis udara sendiri tetapi pastikan semua komponen enjin kering.

6. PERIKSA SEMUA BENDALIR
Sistem bahan api pada model kereta baharu biasanya ditutup rapi, tetapi komponen itu pada model lama mungkin perlu dikeringkan. Brek, klac,  stereng kuasa, dan tangki pendingin (coolant) perlu diperiksa supaya tiada pencemaran.

Sekali lagi, tugas memeriksa ini sepatutnya dilakukan mekanik bertauliah. Lebih elok jika kereta ditunda ke pusat servis rasmi untuk dilakukan diagnosis menyeluruh.

7. PERIKSA SEMUA SISTEM ELEKTRIK
Kemudian, periksa semua sistem elektrikal. Pulas kunci pencucuh atau cara lain untuk menghidupkan kereta. Periksa setiap komponen elektrik satu persatu daripada lampu depan, signal belok, penyaman udara, stereo, kunci kuasa, tingkap dan kerusi, dan lampu kabin.

Jika anda perasan sebarang kekurangan seperti kelancaran enjin dan anjakan gear, itu mungkin menandakan berlaku masalah elektrikal. Segera hantar ke mekanik, dan ingat, kereta anda mungkin dilindungi insurans.

8. PERIKSA RODA DAN TAYAR
Sebelum memandu, cari kesan lumpur dan selut yang mungkin terkumpul sekitar roda, brek, dan bawah kereta. Malah, kesan lumpur yang sudah mengeras, atau ranting kecil boleh menyebabkan kereta bergegar ketika memecut. Jika perlu, ambil penyembur bertekanan tinggi dan cucilah sekitar rim dengan berhati-hati.

9. ISYTIHAR 'TOTAL LOSS' KALAU TIDAK YAKIN MAMPU BAIK PULIH KERETA
Kereta ditenggelami banjir boleh mengalami masalah berbulan atau bertahun lama selepas kejadian. Jika yakin bengkel tidak dapat membaik pulih sebaiknya, mungkin boleh meminta syarikat insurans menimbang untuk mengisytiharkan kereta anda sebagai rugi penuh (total loss).

Selain memerlukan kos baik pulih tersembunyi yang tinggi, pengisytiharan total loss mungkin dapat menyelamatkan anda daripada sakit kepala.
 

TIP ELAK BELI KERETA BANJIR

Ada banyak kes longgokan kereta dijual semula selepas berlaku masalah banjir di satu-satu tempat. Sebelum beli kereta terpakai, periksa dulu sejarah kenderaan tersebut. Jika ia dipindahkan dari negeri yang terkesan akibat banjir, kemungkinan besar penjual cuba mengelak kerosakan akibat banjir.


Jom SHARE untuk maklumat bersama Insya Allah ....!!!

                                                     Alat pengesan barang kemas hilang


Tiada ulasan:

Catat Ulasan