Ahad, 26 April 2020

Waktu Berbuka Puasa Waktu Mutajab Untuk Berdoa






Berikut adalah waktu-waktu yang paling mustajab untuk berdoa:-

1. Waktu di antara Azan dan Iqamah

Semasa azan berkumandang, pintu langit terbuka dan doa mudah dimakbulkan bagi hamba yang taat. Allah turut mengurniakan waktu istimewa untuk hambaNya yang berdoa pada awal waktu solat iaitu antara azan dan laungan iqamah.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud “Doa di antara azan dan iqamah tidak tertolak.”(Hadis Riwayat At Tirmidzi dan Abu Daud).

2. Hari Jumaat

Jumaat adalah penghulu segala hari. Rasulullah menegaskan: “Sebaik-baik hari di mana matahari terbit adalah hari Jumaat.

Setiap Muslim hendaklah memperbanyakkan berdoa pada hari Jumaat. Ulama berbeza pendapat mengenai waktu mustajab berkenaan.

Ada mengatakan, ia bermula pada awal pagi Jumaat hingga terbit matahari. Ada juga mengatakan, ketika khatib duduk di antara dua khutbah.

Namun, yang paling kuat adalah pendapat mengatakan waktu sesudah solat Asar hingga Maghrib sebagaimana ditegaskan Rasulullah:

“Sesungguhnya dalam hari Jumaat ada waktu mustajab apabila pada waktu itu seorang Muslim berdoa kepada Allah pasti dimakbulkan doanya. Waktu yang dimaksudkan itu ialah sesudah solat Asar.” (Riwayat Ahmad)

3) Malam Lailatulqadar

Lailatulqadar juga memiliki keistimewaan untuk memperbanyakkan berdoa kerana beribadat di dalamnya lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah bersungguh-sungguh mencari malam Lailatulqadar iaitu pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Rasulullah menegaskan: “Sesiapa yang melakukan ibadat pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan hati, maka diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4) Ketika Hujan

Apabila hujan turun membasahi bumi bukan sahaja dapat menyirami tumbuhan dan menyejukkan bumi yang kering. Waktu ini juga Allah cipta untuk hambaNya berdoa supaya dapat dikabulkan.

Rasulullah S.A.W bersabda “Doa tidak tertolak pada 2 waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.” (Hadis Riwayat Al Hakim)

5) Sepertiga Malam Terakhir

Apabila sepertiga terakhir malam, Allah memberkati hamba-hambanya dengan turun ke langit dunia dan mengkabulkan hajat yang terbuku di hati mereka.

Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah S.A.W bersabda,

“Di malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut melainkan Allah akan memberikan apa yang ia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

6) Hari Arafah Ketika Musim Haji

Hari Arafah adalah hari di mana kaum Muslimin dari seluruh penjuru dunia berkumpul di Padang Arafah. Mereka berkumpul untuk mendekatkan diri kepada Allah untuk pelaksanaan ibadat haji.

Rasulullah S.A.W memuji hari Arafah: “Tidak ada satu hari pun yang lebih istimewa di sisi Allah daripada hari Arafah.”

Allah turun ke langit bumi mempertontonkan kemuliaan kaum Muslimin kepada para malaikat seraya berkata:

“Wahai para malaikat, lihatlah hamba-hamba-ku. Mereka datang menghadap-Ku dalam keadaan susah payah dari penjuru dunia yang jauh dan memohon keselamatan atas seksa-Ku.

“Tidak ada satu hari pun di mana Allah membebaskan hamba-hamba-Nya dari seksa neraka daripada hari Arafah.’’ (Riwayat Abu Ya’la, Bazzar dan Ibnu Khuzaimah)

7) Ketika Bersahur dan Berbuka Puasa
Waktu sahur juga tergolong dalam waktu mustajab untuk berdoa. Oleh itu, banyakkan berdoa dan berzikir sambil bersahur sehingga masuknya waktu solat fardhu Subuh.

Setelah penat seharian berpuasa, Allah mengurniakan satu lagi waktu mustajab untuk orang berpuasa memanjatkan doa kepadaNya.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud : “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan