Isnin, 12 September 2016

Dokumentari 'Harimau Malaya 1980'


Khas untuk peminat bola sepak, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, Astro menlancarkan sebuah dokumentari khas bertajuk Harimau Malaya 1980 bagi meraikan detik-detik bersejarah pasukan bola sepak Malaysia.

Dokumentari itu merupakan inisiatif Astro dalam memaparkan kisah pasukan bolasepak kebangsaan pada tahun 1980 (atau lebih dikenali sebagai pasukan impian) yang telah melalui pelbagai cabaran untuk mara ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata, menerusi dokumentari berkenaan pihaknya ingin menceritakan kepada rakyat Malaysia mengenai kisah wira negara yang telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sehingga menjadikan mereka sebuah pasukan terunggul dan dihormati rakyat negara ini.

"Kami berharap agar kisah perjuangan mereka ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi di masa akan datang.

"Harimau Malaya 1980 merupakan lambang kebanggaan rakyat Malaysia dan kisah perjuangan mereka ini mengingatkan kita akan kepentingan semangat berpasukan, perpaduan dalam mengamalkan kepelbagaian bangsa selain memiliki kekuatan menerima perbezaan di antara satu sama lain," katanya.

Harimau Malaya 1980 akan ditayangkan secara eksklusif pada 16 September ini pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Arena (Saluran 801/Saluran HD 802), Astro Supersport HD (Saluran 831) dan juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro on the Go.


Dalam pada itu, Rohana berkata, dokumentari itu nanti turut menyorot kembali detik-detik indah pemain, saat-saat suka dan duka, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan sehingga melayakkan pasukan mereka untuk bertanding di Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980.

Malah katanya, buat julung kalinya selepas 36 tahun, skuad itu disatukan dalam menjayakan penerbitan dokumentari tersebut.

"Ia turut menyaksikan beberapa sesi temuramah istimewa bersama legenda bola sepak tanah air seperti Datuk Soh Chin Aun, Hassan Sani, James Wong dan Datuk Santokh Singh.

"Manakala jurulatih, Karl-Heinz Weigang, bekas pengulas sukan veteran, Zulkarnain Hassan dan ahli keluarga para pemain yang tidak lagi bersama dengan kita dan bekas Menteri Luar Negeri, Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail turut ditemuramah," katanya.

Sementara itu, penerbit program khas itu, Basir Siswo berkata, menghasilkan dokumentari itu adalah ibarat menghimpunkan kembali kepingan teka silang kata yang telah tersimpan selama 36 tahun.

"Saat yang paling menyentuh hati adalah apabila perjumpaan semula para pemain yang mana mereka kemudiannya menyarungkan kembali jersi masing-masing dan berjalan beriringan untuk masuk ke dalam Stadium Merdeka.

"Ini merupakan satu senario yang cukup menggamit memori," katanya.







Buku Kisah Benar 
Pasukan Bola Sepak Malaysia


Dapatkan Buku Sekarang!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan