Selasa, 8 Januari 2013

BEWARE: Banduan kejam terlepas

Awas!!! terutama warga Utara.. Penjenayah bagi kes bunuh dan samun... Terlepas!!!

BUTTERWORTH - Empat anggota polis cedera dibelasah sembilan tahanan ketika dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kesemua mereka akan menghadapi prosiding perbicaraan pagi semalam.

Tahanan berkenaan kemudiannya meninggalkan empat anggota pengiring itu di tepi jalan sebelum bertindak melarikan van polis dinaiki untuk meloloskan diri.

Dalam kejadian di susur keluar ke Pantai Bersih itu, pemandu van polis berkenaan yang dikenali sebagai Nazzwan cedera parah di kepala akibat dihentak dengan gari.

Manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ringan di kepala dan beberapa bahagian badan masing-masing selepas dibelasah tahanan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian itu berlaku ketika keempat-empat anggota polis dari unit pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth.

“Kesemua mereka dalam keadaan bergari diambil sebelumnya dari Penjara Pulau Pinang untuk proses reman dan pertuduhan berkaitan kes bunuh, samun dan mencederakan orang.

“Pemandu van ditemani seorang anggota duduk di hadapan manakala dua anggota pengiring duduk di bahagian hadapan tengah van mengawasi semua tahanan yang ditempatkan di bahagian belakang,” katanya.

Menurut Datuk Abdul Rahim, ketika van melalui Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) berhampiran Bagan Ajam, beberapa OKT (orang kena tuduh) berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan pemandu van memberhentikan kenderaan itu bagi meleraikan pergaduhan tersebut.

“Ketika itulah salah seorang OKT melempar serbuk cili ke arah salah seorang anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan antara polis dan OKT.

“Pada masa yang sama, beberapa orang OKT bertindak menendang kesemua anggota polis berkenaan keluar dari kenderaan itu selain membelasah mereka di tepi jalan,” katanya.

Rahim berkata, OKT terbabit kemudiannya merampas kunci gari dari salah seorang anggota polis sebelum menaiki semula van dan melarikan diri bersama kenderaan itu.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini semalam ketika melawat keempat-empat mangsa berkenaan yang menerima rawatan.

Kejadian yang berlaku kira-kira dua kilometer dari Kompleks Mahkamah Butterworth itu bagaimanapun sempat dilihat oleh pengguna jalan raya yang kemudiannya memberikan bantuan kecemasan kepada anggota terbabit sebelum semuanya dihantar mendapatkan rawatan ke HSJ kemudiannya.

Menurut Abdul Rahim lagi, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, polis telah melancarkan gerakan mengesan van dan OKT yang terlibat.

“Tidak sampai 30 minit selepas operasi dilancarkan, pihak kita menemui semula van itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Cempedak, Tasek Gelugor iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

“Semasa ditemui dua OKT masih berada di lokasi van itu dan tidak mengikuti tujuh rakan mereka yang dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis kini menjejaki Mohd Sharimy Md Nor, 28; Farid Akhtar 24; Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 25; Hamizani Harun, 37; Hisham Abd Rahman, 39; Mohd Fairuz Adam, 31; dan Mohd Noor Mustafa, 28.

“Kita telah melancarkan gerakan mengesan kesemua OKT yang melarikan diri termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di sekitar Tasek Gelugor.

“Kita juga minta kerjasama orang awam melaporkan kepada polis sekiranya mereka ternampak atau mengetahui lokasi OKT ini bersembunyi dan jangan mengambil tindakan sendiri atau cuba menahan kerana mereka merbahaya,” katanya.

Rahim menambah, keempat anggota polis berkenaan akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan tahanan lari dari jagaan yang sah.

Manakala tujuh suspek terbabit dicari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mencederakan.

Katanya, jika kelalaian menjadi puncanya hingga OKT terbabit berjaya meloloskan diri pihaknya akan mengambil tindakan ke atas empat anggota pengiring terbabit.

Sumber: sinar harian

Harap hati-hati semua, terutama kawasan-kawasan berdekatan... pastikan umah anda sentiasa berkunci... 

VIDEO 



UPDATE....

TASEK GELUGOR 11 Jan. - Dua daripada lima orang kena tuduh (OKT) yang meloloskan diri daripada tahanan polis pada Isnin lalu kini dipercayai bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Ara Kuda di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dua OKT terbabit dikesan muncul di kawasan kampung berhampiran kira-kira pukul 6.40 pagi ini dan kesemua mereka dipercayai telah berpecah kepada dua kumpulan.

Beliau berkata, suspek dipercayai telah mengubah penampilan dengan menukar pakaian masing-masing bagi mengelak dikenal pasti. - UTUSAN



Tiada ulasan:

Catat Ulasan