Khamis, 26 Mei 2011

Wanita Mudah Menghidapi Batu Karang Hempedu


SETIAP kali selepas menikmati hidangan tengah hari, anda akan mengalami sakit seperti senak di bahagian perut. Sakit tersebut akan mengganggu tugas harian kerana ia berlarutan sehingga sejam lamanya. Jika Anda mengalami perkara tersebut... Awas!..ia tidak semestinya gastrik. Lakukan pemeriksaan doktor pakar secepat mungkin dan jangan terkejut jika hasil pemeriksaan, terdapat beberapa ketulan batu bersaiz guli terdapat dalam pundi hempedu anda.

Jika anda seorang wanita yang berusia dan mempunyai tubuh yang agak berisi, kerana risiko untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu agak tinggi untuk anda. 

Menurut Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Nanda Kumar Rajendram, perubahan hormon dan mendapan kolesterol di bahagian hempedu antara punca mengapa bilangan wanita menghidap penyakit ini tinggi.

"Penyakit batu karang hempedu ini juga kerap dihadapi oleh wanita yang mempunyai anak ramai," jelas beliau ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Dr. Nanda Kumar menjelaskan, pundi hempedu menghasilkan hempedu iaitu sejenis cecair berwarna coklat kehijauan pekat yang mengumpul cecair lemak, kolestrol dan bahan-bahan kimia lain.

"Apabila seseorang makan, pundi hempedu akan mengembang dan menguncup serta menyerap kandungan kolesterol, lemak dan minyak daripada makanan yang dimakan itu. 

"Akan tetapi, apabila cecair hempedu tidak mempunyai bahan kimia yang seimbang, ia akan membentuk batu keras yang dikenali sebagai batu karang hempedu. Saiznya pula bergantung, sama ada yang sekecil guli dan boleh jadi hingga sebesar bola golf. 

"Apabila batu karang telah wujud di dalam hempedu, tiap kali anda memakan makanan yang mengandungi lemak, minyak serta kolesterol, pundi hempedu yang mengembang dan menguncup itu akan terasa sakit," terang Dr. Nanda Kumar lagi.

Beliau berkata, batu karang hempedu ini mungkin telah bertahun-tahun wujud di dalam hempedu seseorang tanpa disedari. Dan jumlahnya juga mungkin mencecah puluhan biji.


Faktor-faktor Risiko

Menurut Dr. Nanda Kumar, antara faktor yang menyebabkan risiko penyakit ini seperti faktor umur, jantina, berat badan dan diet yang berkalori rendah.

"Di KJMC, kami mendapati kebanyakan pesakit yang mempunyai batu karang hempedu adalah wanita yang berbadan besar, mempunyai ramai anak dan berumur 40 tahun ke atas. 

Kebarangkalian individu menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia," tambahnya.
Simptom-simptom

Menurut Dr. Nanda Kumar, simptom penyakit batu karang hempedu seakan sama dengan penyakit gastrik. Pesakit akan berasa senak dan kadangkala sakit di bahagian abdomen. Adakalanya kesakitan itu disertai dengan rasa mual, angin, kembung perut dan muntah.

"Biasanya rasa sakit tersebut akan menyerang selepas 15 minit seseorang makan makanan yang mengandungi lemak atau kolesterol. 

"Rasa sakit itu pula pada mulanya sedikit dan kemudian senak kronik pada bahagian kanan perut dari ulu hati. Kesakitan biasanya berlarutan selama satu hingga dua jam selepas makan," jelasnya.


Diagnosis

Dr. Nanda Kumar memberitahu, disebabkan simptom penyakit ini lebih kurang sama dengan gastrik, maka pemeriksaan teliti perlu dilakukan. 

Selain itu, disebabkan batu karang hempedu telah wujud sejak bertahun-tahun lamanya tanpa dapat dikesan oleh empunya tubuh, jadi ujian ultra bunyi berkomputer perlu dibuat untuk mengesannya.m hempedu anda.


Pembedahan

Dr. Nanda Kumar menasihatkan pesakit yang telah dikesan mempunyai penyakit batu karang hempedu untuk membuang pundi hempedu sekali. Ini kerana, pundi hempedu yang pernah menghasilkan batu akan berpotensi untuk menghasilkan batu sekali lagi. 

Pundi hempedu turut dibuang bagi mengelakkan daripada terhasilnya batu sekali lagi.

Pembedahan yang amat disarankan untuk membuang batu karang hempedu dinamakan laparoskopik. Caranya dengan menggunakan laparoskop iaitu sejenis tiub nipis dengan sistem lampu dan kamera video yang kecil.

"Pembedahan yang dinamakan pembedahan minimal invasif ini hanya melibatkan empat tebukan kecil, dua lubang berdiameter 10 milimeter dan dua lagi bersaiz 5 milimeter.

"Prosedur mengambil masa selama lebih kurang sejam dan anda kurang berasa sakit selepas pembedahan, kurang parut dan boleh kembali melakukan aktiviti seharian hanya dalam beberapa hari," ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan