Taip Bahan Carian

Ahad, 28 April 2019

LHDN- Kadar Penalti 10 Peratus Dilanjut Hingga 30 Jun


LHDN- Kadar Penalti 10 Peratus Dilanjut Hingga 30 Jun

PUTRAJAYA: Fasa pertama Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan pengenaan kadar penalti 10 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan akan dilanjutkan sehingga 30 Jun ini .

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata fasa kedua PKPS dengan pengenaan kadar penalti 15 peratus pula akan bermula pada 1 Julai dan tamat pada 30 September depan.

Beliau berkata sehingga 31 Mac lalu, sejumlah 381,979 pengakuan sukarela diterima LHDN dan Jemaah Menteri bersetuju melanjutkan tempoh PKPS berikutan sambutan yang sangat menggalakkan daripada pembayar cukai.

Mengulas lanjut, beliau berkata mulai 1 Oktober depan, kadar penalti 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan juga kesalahan kurang melaporkan cukai pendapatan.

“PKPS memberikan fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi masih belum melaporkannya kepada LHDN.

“Pada masa sama kerajaan juga mengalu-alukan mana-mana pembayar cukai tempatan yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat apa juga pengakuan secara sukarela berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam Malaysia dan masih belum dilaporkan sekiranya ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, menerusi PKPS, pengakuan sukarela bagi pendapatan tidak dilaporkan yang dibuat bermula 3 November 2018 hingga 31 Mac 2019, hanya akan dikenakan 10 peratus penalti daripada jumlah cukai perlu dibayar, manakala pengakuan daripada 1 April hingga 30 Jun tahun ini, dikenakan penalti sebanyak 15 peratus daripada jumlah cukai perlu dibayar.

Beliau berkata kerajaan berharap dengan lanjutan tempoh diberikan ini, lebih ramai pembayar cukai akan menyertai PKPS bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti yang rendah dan seterusnya dapat mengurangkan bebanan cukai mereka.

“Pengakuan sukarela bagi pembayar cukai kategori individu boleh dibuat sehingga pendapatan tahun berakhir 31 Disember 2017, manakala bagi pembayar cukai kategori syarikat pula, pengakuan sukarela boleh dibuat bagi pendapatan sehingga tempoh perakaunan 31 Mac 2018.

“LHDN juga sudah mematuhi arahan kerajaan tahun lalu, supaya sebarang siasatan dijalankan tanpa ugutan atau ancaman, termasuk menghentikan semua serbuan ke atas rumah atau pejabat pembayar cukai dengan ditemani oleh anggota yang bersenjata dan memakai topeng muka ‘balaclava’.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang mengingkari arahan ini, pihak yang terkesan diminta membuat aduan kepada pihak LHDN atau Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata LHDN akan menerima setiap pengakuan sukarela berkenaan dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan sukarela itu.

“LHDN juga akan mengeluarkan surat pengesahan bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima dan surat kesahihan pelaporan cukai secara sukarela adalah teratur akan diberikan setakat 2017 untuk individu dan 31 Mac 2018 untuk syarikat,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh kunjungi Pejabat LHDN berhampiran atau hubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1800885436 atau 6037713 6666 (Luar Negara) atau menghantar emel pertanyaan kepada pengakuansukarela@hasil.gov.my.


Tindakan kenakan cukai pendapatan ikut prosedur, rekod - LHDN

Tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai pendapatan kepada setiap individu dibuat mengikut prosedur dan maklumat yang ada pada lembaga itu, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Abdul Manap Dim.

Katanya, jika pembayar cukai berasa tidak berpuas hati dengan cukai yang dikenakan, mereka mempunyai ruang untuk membantah dan mendapatkan penjelasan daripada LHDN.

"Sebenarnya apa-apa juga tindakan LHDN adalah mengikut prosedur, dan LHDN tafsir pun mengikut maklumat yang ada, oleh itu saya menyeru artis ke, apa ke, untuk melakukan taksiran yang diperlukan, kalau individu berkenaan datang ke pejabat LHDN, kita akan bagi perhatian.

"Semua pembayar cukai kami ikut prosedur dan setiap cukai yang dikutip itu dan jika tak puas hati pembayar ada ruang untuk membantah dan bawa perkara itu ke mahkamah dan itu yang kami laksanakan," katanya ketika ditemui pemberita pada program Tanggungjawab Sosial Korporat LHDN di sini, pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai luahan seorang pelakon, Datin Diana Danielle yang tidak berpuas hati selepas namanya disenarai hitam daripada keluar negara akibat mempunyai tunggakan cukai pendapatan dengan LHDN dianggarkan sebanyak RM350,000.

Abdul Manap juga menegaskan bahawa LHDN tidak mengambil tindakan mengenakan cukai terhadap segelintir pihak sahaja, sebaliknya semua individu sama ada artis, menteri dan timbalan menteri turut dikenakan cukai pendapatan.

Sebelum ini, Diana Danielle meluahkan rasa tidak puas hati mengenai perkara itu menerusi hantaran di akaun Instagram yang kemudiannya menjadi tular.

Dalam hantaran itu, pelakon tersebut mendakwa dia diminta membayar RM350,000 oleh LHDN sedangkan dia belum mengemukakan sebarang dokumen.

Malah, dia mendakwa LHDN tidak berhak memintanya membayar tunggakan cukai pendapatan itu sehingga agensi terbabit membayar 'hutang' sebanyak RM100,000 kepadanya yang dituntut daripada agensi terbabit sejak setahun lalu.

Diana memaklumkan dia hanya mengetahui dirinya dikenakan sekatan ke luar negara ketika mahu ke Jepun atas urusan kerja, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...