Taip Bahan Carian

iklan adnow

loading...

Tudung Kanak-Kanak

Tudung kanak-kanak

Selasa, 25 Mac 2014

Kronologi kehilangan Pesawat MH370


Akhirnya misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 terjawab pada hari ke-16 operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

8 MAC


* Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.


* Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.


* Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi membabitkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

* Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).

9 MAC

* Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

* Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370.



10 MAC

* Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.

* APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.




11 MAC

* Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29.

* Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.


12 MAC

* Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat.

* Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan.

* Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.


13 MAC

* Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.

* China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.



14 MAC

* Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.

* Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.


15 MAC

* Perdana Menteri tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.

* Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

* Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.


16 MAC

* Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat.

* Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.

* Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

17 MAC

* Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.



18 MAC

* Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.

19 MAC

* Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.

20 MAC

* Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Najib pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang.

* Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.


* Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.


21 MAC

* Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370.

* Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu.

* Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang penumpang berkenaan bersih.

22 MAC

* Transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA.

* Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.

* Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth.

23 MAC

* Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia.

* Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.


24 MAC

* Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370.

* Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.


* MAS meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama


Khamis, 13 Mac 2014

Bomoh turut Cari MH370



Dalam kesibukan Bomba, Polis, Tentera Udara, Tentera Laut, Perisik mencari Kapal Terbang MAS MH370 yang hilang... Bomoh juga turut berusaha mencari kapal terbang yang hilang.



)


PUTRAJAYA - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius pembabitan bomoh dalam usaha mencari pesawat MAS yang hilang sejak Sabtu lalu.

"Mohon Jakim memandang serius isu penglibatan bomoh-bomoh dalam mencari MH370 pelbagai versi.

"Ada tikar terbang zam-zam ala kazam, labu, kelapa, teropong, bubu dan sebagainya," katanya dalam akaun Twitternya, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) gempar seketika dengan kemunculan seorang lelaki yang mendakwa sebagai 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' yang kononnya mampu membuat ramalan lokasi pesawat MAS penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang.

Terbaru, KLIA lagi sekali digemparkan dengan penyebaran gambar dengan kehadiran sekumpulan tiga lelaki memakai sut lengkap untuk memulakan ritual mengesan pesawat tersebut.




PETALING JAYA: Sehubungan pendedahan seorang bomoh bahawa pesawat MH370 yang hilang kini tergantung di alam ghaib, mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas golongan tersebut.

Melalui posting Facebooknya hari ini, bomoh yang mengamalkan amalan khurafat ini boleh mengelirukan golongan bukan Islam mengenai agama itu.

“Tak cukup dengan kehilangan MH370, muncul pula macam-macam bomoh khurafat dengan pelbagai aksi yang memperbodohkan diri sendiri, bahkan juga boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terutama non-muslim terhadap Islam,” Mohd Asri berkata.

Beliau turut menegaskan penggunaan ayat suci al-Quran oleh golongan ini tidak bermakna mereka melakukan perkara yang betul.

“Mereka mempergunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan selekeh. Ingatlah bahawa segala yang bodoh dan tahyul itu bukan ajaran Islam,” tambahnya lagi.

Semalam, seorang bomoh bernama Mahaguru Ibrahim Mat Zin mendakwa pesawat MH370 tergantung di atas paras Laut China Selatan berhampiran Vietnam kerana disembunyikan orang bunian.

“Oleh itu, semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum perlu berdoa agar pesawat yang hilang muncul kembali.

“Kita berharap dengan usaha ini, pesawat itu akan muncul dalam masa terdekat selewat-lewatnya minggu ini,” Ibrahim dipetik sebagai berkata dalam Utusan Malaysia hari ini.

Ibrahim turut dilaporkan melakukan ritual tarian mencari pesawat di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dengan menggunakan bubu buluh dan dua teropong buluh.



Selasa, 11 Mac 2014

e-Book Dalam Pembelajaran


Buku elektronik atau e-Book adalah kaedah pembelajaran terkini yang diper­kenalkan dalam sistem pendidikan negara sekali gus menyaksikan permulaan satu fasa baru dalam proses pem­belajaran sedia ada.

Tidak bermaksud meng­gantikan sistem pembelajaran konservatif, e-book lebih mudah menarik perhatian pelajar sementelah lagi dengan peng­gunaan sistem berbentuk interaktif, ia lebih komprehensif dan praktikal.

Bagaimanapun, suara sumbang yang mempertikai penggunaan e-Book pasti ada apatah lagi kaedah pembelajaran ini dikatakan masih terlalu baru selain sukar menukar kaedah pembelajaran tradisi.

Justeru, mampukah e-Book menukar tradisi itu sekali gus memberi peluang dunia pendidikan negara beranjak ke corak pembelajaran lebih dinamik dan moden.

Pensyarah Kanan Jabatan Multimedia Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Amir Rizaan Rahiman berkata, penggunaan e-Book sebagai kaedah pembelajaran terkini perlu dipraktik dan diperluaskan bagi menyaingi perkemba­ngan pengajaran dan pembelajaran moden serta perkembangan globalisasi.



Beliau berkata, biarpun kaedah pembelajaran tradisi seperti penggunaan buku teks masih relevan, keperluan bagi mengisi permintaan maklumat tanpa batasan menyebabkan kaedah berbentuk digital perlu diperkenalkan.

“e- Book adalah satu kaedah pembelajaran baru yang dicipta bagi menyaingi perkembangan dunia maklumat tanpa sempadan.

“Dengan perkembangan dan kecanggihan teknologi maklumat, penggunaan e-Book lebih sesuai dalam sistem pembelajaran dan pengajaran (P&P).

“Tapi, ini tidak bermakna kaedah P&P sedia ada tidak boleh digunakan sebaliknya gabungan kedua-duanya boleh menghasilkan keputusan lebih baik,” katanya.

Penggunaan e-Book semakin berkembang di seluruh dunia dengan kebanyakan negara sudah mengaplikasikan seperti Portugal, Venezuela, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Inisiatif penggunaan e-Book di negara ini dirintis di Terengganu pada 2009 dengan pengagihan 25,000 unit e-Book iaitu mini laptop yang dilengkapi pelbagai perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa-doa dan amalan solat yang boleh digunakan pelajar tahun lima.

Penggunaan e-Book diperkenal secara berperingkat dalam sektor pendidikan negara dengan sasaran memberi pendedahan kaedah pembelajaran secara interaktif.

Ia juga bagi mengurangkan bebanan pelajar yang terpaksa membawa bebanan buku ke sekolah sekali gus mengurangkan rungutan ­ramai pihak.

Malah, e-Book mempunyai banyak kelebihan lain, antaranya memudahkan pelajar membaca buku tanpa beban yang berat berbanding buku cetakan di pasaran.

Manakala teks dalam e-Book juga boleh dicari de­ngan mudah, atau dirujuk silang menggunakan hyperlink.

Dr Amir Rizaan berkata, meskipun pengenalan kaedah pembelajaran e-Book dianggap baru dalam dunia pendidikan moden, penggunaan kaedah sama sudah mula digunakan sejak 1949 oleh seorang guru, Angela Lois di Sepanyol.

“Ini bermakna sudah 65 tahun kaedah e-Book digunakan. Cuma pada waktu itu mungkin kandungan atau penggunaannya sangat terhad dan dalam bentuk teks.

“Apa yang penting, pada waktu itu, manusia sudah berpandangan jauh ke depan. Apa salahnya kita juga berubah untuk menyaingi keperluan masa depan?” katanya.

Malah, penggunaan kaedah e-Book dilihat sangat praktikal dan mampu meningkatkan lagi pengembangan maklumat dan ilmu dalam sistem pendidikan negara.

“Tiada sebab untuk tidak melaksanakan penggunaan e-Book bagi menyokong transformasi sistem pendidikan negara kita.

“Malah, dengan penggunaan lebih praktikal dan mudah, e - Book adalah mekanisme ideal untuk mengurangkan bebanan pelajar yang terpaksa membawa banyak buku selama ini.

“Dengan hanya peng­gunaan tablet, semua maklumat sudah tersedia, pelajar berpeluang menikmati keselesaan pembelajaran manakala guru pula boleh mempelbagaikan mekanisme pengajaran,” katanya menganggap gabungan pelbagai kaedah pembelajaran mampu membantu pelajar menghasilkan pencapaian lebih cemerlang.

“Suasana P&P yang membosankan adalah antara punca pelajar hilang fokus atau tidak minat belajar.

“Justeru, gabungan kedua-dua atau pelbagai kaedah lain adalah kaedah boleh diguna pakai untuk mengatasi masalah itu.


“Kita perlu sedar, pelajar hari ini bukan seperti dulu. Mereka terdedah dengan kepantasan teknologi maklumat dan sudah tentu ia satu daya tarikan kuat bagi golongan itu,” katanya.

Guru juga, katanya, harus sedar mengenai kelebihan ini dan menggunakannya bagi menarik perhatian pelajar.

“Banyak kelebihan e-Book yang boleh digunakan guru, antaranya menggunakan kaedah ini untuk menambah atau memupuk minat pelajar kepada ilmu atau membuat pelajar lebih proaktif dalam kelas dengan kuasa tarikan yang ada dalam e-Book contohnya kepelbagaian warna atau tarikan gambar, multimedia dan audio.

“Saya tidak kata kaedah yang digunakan selama ini tidak relevan tapi kita juga mesti sedar keperluan dan kehendak pelajar juga sudah berbeza,” katanya.

Mengenai tahap kesediaan penggunaan e-Book, katanya kementerian perlu memastikan mempunyai guru terlatih bagi memudahkan kaedah pembelajaran ini.

“Itu antara aspek perlu dipertimbang­kan biarpun secara keseluruhan boleh dikatakan pelajar hari ini memang terdedah dengan penggunaan teknologi.

“Biarpun e-Book memang diperlukan, setiap perubahan perlu melalui satu penelitian khusus supaya tidak timbul masalah.

“Bimbingan kepada guru perlu diambil kira kerana mereka juga perlukan latihan untuk mengaplikasikannya dalam bilik darjah,” kata­nya.

http://www.hmetro.com.my







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

FeedBurner FeedCount

Pengikut

Subscribe via email

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Subscribe Now: poweredby

Powered by FeedBurner