Taip Bahan Carian

Ahad, 18 September 2011

Pejuang Kemerdekaan Menentang Penjajah

ANTARA pejuang kemerdekaan menentang penjajah.

Mat Salleh

DATU Mohammad Salleh Datu Balu atau Mat Salleh dilahirkan di Inanam, Sabah. Pejuang berketurunan Bajau dan Suluk ini menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) pada 1895 yang memperkenalkan pelbagai peraturan menyusahkan penduduk tempatan seperti buruh paksa, lesen dan cukai beras. Perjuangan beliau juga didorong semangat jihad orang Sulu melawan Sepanyol di Filipina. Beliau terkorban selepas SBUB melancarkan serangan besar-besaran pada Januari 1900 di Kampung Teboh, Tambunan. Perjuangannya diteruskan dua pengikut, Mat Sator dan Kamunta, tetapi SBUB menghentikan kebangkitan pengaruh Mat Salleh pada Julai 1902.

FAKTA:
Antara syarat perjanjian damai British-Mat Salleh pada 19 April 1898.

British berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan penjajah bersetuju memberi kuasa kepada pahlawan Sabah mentadbir Tambunan.

Mat Salleh dan pengikutnya yang menentang British diberi pengampunan.

Penduduk di Sungai Inanam yang dikeluarkan dari tempat itu oleh kerajaan dibenarkan kembali selepas kekacauan di tempat itu dapat dihentikan.

Mat Salleh dibenar menetap di Tambunan dan lain-lain daerah di pedalaman kecuali di Sungai Sugut dan Sungai Labuk. Beliau juga diminta memberi kerjasama dan mengarahkan pengikutnya mengikut arahan dan peraturan kerajaan.

Mat Salleh diminta membantu kerajaan menangkap sesiapa saja yang melakukan kesalahan dan melaporkan kepada kerajaan segala pergerakan yang dilakukan olehnya.

lagi tentang Mat Salleh


Dol Said



DATUK Naning Abdul Said atau lebih dikenali sebagai Dol Said, pahlawan Naning menentang Undang-Undang British terutama cukai diperkenalkan pada 1800-an. British mengarahkan Naning mematuhi peraturan ditetapkan di Melaka, tetapi tidak dituruti Dol Said kerana menganggap Naning daerah berdaulat. Berikutan itu, Inggeris mengisytiharkan Dol Said penderhaka dan menghantar 150 orang menyerang Naning tetapi ditewaskan taktik perang gerila bersama bantuan tentera Yamtuan Muda Raja Ali dari Rembau serta dari Seri Menanti pada 15 Julai 1831. Pada Mac 1832, tentera Inggeris menawan Taboh serta membakar rumah penduduk di situ. Dol Said berundur ke Seri Menanti dan menyerah diri.

Lagi tentang  Dol Said


Tok Janggut

 MAT Hassan Munas atau Tok Janggut, pahlawan Melayu tersohor menentang British di Kelantan. Dilahirkan di Kampung Jeram, Pasir Puteh pada 1853 dan menetap di Kampung Nering, mendapat pendidikan pondok di Kelantan dan Makkah, kemudian menjadi petani serta peniaga selain mahir ilmu persilatan, menentang Inggeris pada awal 1900-an antaranya kerana cukai membebankan. Tok Janggut terkorban dalam serangan British ke kubu beliau di Kampung Dalam Pupuh, Saring pada 24 Mei, mayatnya diarak ke Pasir Puteh dan Kota Bharu sebelum digantung songsang di Padang Balai Besar, Kota Bharu selama empat hari serta dikebumikan di Pasir Puteh.

Lagi tentang Tok Janggut


Sharif Masahor

PEMBESAR Sarikei di Sarawak menentang Inggeris selepas kewibawaan beliau tergugat apabila wilayah itu diletakkan di bawah pentadbiran Brooke. Pada 1855, Sharif menyerang Mukah, mengusir Pangeran Matusin yang menyokong James Brooke. Beliau berpakat dengan Datu Patinggi Abdul Ghapur dari Kuching untuk menghalau Brooke dari Sarawak dengan menyerang Kanowit pada 1856 sebelum berpakat dengan Abdul Ghapur dan Temenggung Hashim dari Sadong pada 1860 bagi menyerang Kuching, namun gagal. Abdul Ghapur ditahan dan dipenjarakan di Betawi, kapal dan perahu dinaiki Sharif yang bertempur dengan tentera Inggeris di Sungai Sadong ditenggelamkan, menyebabkan beliau berundur ke Mukah.

FAKTA: Rentetan penentangan Sharif Masahor

1841: Brooke mula menjajah Sarawak
1849: Sharif Masahor dilantik Gabenor Sarikei
1855: Penentangan Sharif Masahor bermula dengan menyerang Mukah
1859: Serangan terhadap kubu Kerajaan Brooke di Kanowit
1860: Pertempuran di Sungai Sadong
1861: Sharif Masahor ditangkap dan dibuang ke Singapura
1890: Sharif Masahor meninggal dunia

Lagi tentang Sharif Masahor


Yamtuan Antah

DILANTIK Yamtuan Seri Menanti pada 1875, wilayah jajahan meliputi Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol. Penentangan bermula apabila baginda tidak bersetuju dengan Datuk ’ Kelana Sungai Ujong yang menandatangani perjanjian dengan Inggeris. Pertikaian mengenai kawasan Terachi mencetuskan pertempuran.
Yamtuan Antah disokong Datuk Siamang Gagap, Tunku Besar Tampin, penduduk Rembau, Jelebu dan Johol, menawan Paroi dan membina kubu pada Disember 1875, namun berjaya ditawan semula Inggeris. Baginda berundur ke Bukit Putus dan Johor dan pada Mei 1876, Yamtuan Antah berunding dengan Gabenor William Jervois sebelum diiktiraf British sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti.

Lagi tentang Yamtuan Antah



Rentap


MENENTANG James Brooke pada abad ke-19. Atas alasan mahu menghapuskan lanun sekitar Saribas dan Skrang, Brooke memusnahkan penempatan Iban di Sungai Skrang dan mendirikan kubu di Nanga Skrang. Pada 1853, Rentap menyerang kubu itu sebelum Brooke menawan kubu Rentap di Sungai Lang pada 1854, membakar perkampungan pahlawan itu sehingga memaksa pengikut Rentap berundur ke Bukit Sadok.
Inggeris gagal menawan Bukit Sadok dalam serangan pada 1857 dan 1858, menyebabkan Brooke sendiri mengetuai serangan pada 1863 dan menewaskan Rentap dalam pertempuran sengit selama sebulan. Rentap berundur ke Entabai untuk menyusun strategi baru, tapi meninggal dunia.

Lagi Tentang Rentap



Maharaja Lela


DATUK Maharaja Lela adalah Orang Besar Berlapan dan penghulu di Pasir Salak menentang British pada 1875, merancang membunuh Residen British Perak, James Wheller Woodfird Birch atau JWW Birch selepas ketuanan Melayu dicabar. Pada 2 November 1875, Birch tiba di Pasir Salak untuk menyiarkan surat pengisytiharan hak memungut cukai, tetapi mati dibunuh. British menyerang Pasir Salak, namun ditewaskan pejuang Melayu, tapi akhirnya menang dalam pertempuran setengah tahun dengan bantuan tentera dari India dan Hong Kong. Maharaja Lela, Datuk Sagor, Pandak Indut dan Sepuntum dihukum gantung sampai mati pada 1877 manakala Sultan Abdullah dibuang negeri ke Seychelles.

lagi tentang Datuk Maharaja Lela


Datuk Bahaman



NAMA sebenarnya Abdul Rahman Iman Noh, pembesar Temerloh menentang British di Pahang. Dilahirkan di Rantau Panjang, Bentong namun banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali, ayahanda Sultan Ahmad. Karisma dimilikinya menyebabkan Datuk Bahaman disegani dan dihormati penduduk dan pemerintah Pahang sehingga dilantik mentadbir Semantan dan menjadi salah seorang daripada Orang Besar Delapan Pahang. Selepas empat tahun menentang penjajah dari 1891 hingga 1894, Datuk Bahaman ditahan dan dibawa ke Bangkok pada November 1895.

Lagi tentang Datuk Bahaman



Abdul Rahman Limbong


PEJUANG di Terengganu, dipercayai antara peguam Melayu pertama negara pada 1921. Nama sebenarnya Haji Abdul Rahman Abdul Hamid, menjadi peguam untuk membela penduduk teraniaya serta menentang penjajah di mahkamah. Perjuangannya bermula awal 1920-an, antara puncanya apabila Inggeris melarang pemburuan haiwan liar pada 1923 dan memperkenalkan peraturan baru tanah pada 1924. Inggeris menuduh Abdul Rahman menghasut rakyat sehingga tercetus pertempuran di Padang Kacong dan atas nasihat Datuk Seri Amar Diraja Ngah Muhammad, Abdul Rahman dihukum buang negeri ke Singapura seterusnya ke Makkah pada 1928 sebelum meninggal dunia akibat sakit pada 6 November 1929.

Lagi tentang Abdul Rahman Limbong



Ontoros Antanom


PAHLWAN Murut ini hanya berusia kira-kira 30 tahun ketika memimpin kaumnya menentang British di Sabah pada 1915. Dilahirkan di Masinpunon di Sungai Salarom pada 1885 dan berketurunan Murut Tagol, Antanom dibesarkan sebagai `kalawon' atau pahlawan gagah dan berani. Antara punca kebangkitannya apabila Syarikat Borneo Utara British (SBUB) mengenakan cukai membebankan penduduk, mewujudkan larangan peraturan membuka tanah baru, memaksa orang Murut menjadi buruh paksa dan menceroboh hutan untuk pembinaan jalan. Pada Februari 1915, beliau menyerang bangunan kerajaan di Pensiangan dan membakarnya serta menyerang Rundum pada Mac tetapi terkorban.

Lagi tentang Antanom


Dari artikel ; http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pejuangkemerdekaanlawanpenjajahdikenang/Article

Tiada ulasan:

Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...