Taip Bahan Carian

Khamis, 16 Jun 2011

41 Laman Web Kerajaan dan Agensinya Diserang dan Digodam


Sekurang-kurangnya 41 laman web kerajaan dan agensinya diserang dan digodam mulai awal pagi hari ini oleh penggodam yang membalas tindakan sekatan kerajaan ke atas beberapa laman sesawang perkongsian fail.

Menurut kenyataan akhbar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekurang-kurangnya 51 laman web diserang dan 41 berjaya digodam.

Laman SKMM - www.skmm.gov.my. juga diserang tetapi tidak berjaya.

“Pemantauan kami terhadap situasi itu mendapati berlaku penurunan tahap serangan menjelang 4 pagi tadi dan selepas penilaian lanjut, kami mendapati ia hanya memberi kesan kecil terhadap pengguna di Malaysia," menurut kenyataan SKMM.

Bagaimanapun, SKMM tidak menyatakan laman web yang menjadi sasaran serangan.


Bermula pagi tadi penggodam yang menamakan kumpulan mereka sebagai Anonymous, menyenaraikan tidak kurang 18 laman web kerajaan yang didakwa telah diserang oleh DDoS (Distributed Denial-of-Service) ataupun dipadamkan sementara oleh pentadbirnya.

Tinjauan Malaysiakini sehingga jam 9 pagi ini mendapati tidak kurang sembilan laman web, termasuk portal rasmi kerajaan Malaysia MyGovernment (www.malaysia.gov.my), masih tidak dapat dilayari.

Antara laman web kerajaan dan agensinya yang tidak dapat dilayari:
  •     SabahTourism.com
  •     ASEAN connect
  •     Bomba
  •     Perbendaharaan Malaysia
  •     Parlimen Malaysia
  •     JobsMalaysia
  •     Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
  •     Majlis Sukan Negara
Menurut beberapa pelayar yang sempat merakamkan laman web kerajaan yang digodam itu berkata kumpulan itu juga menukar kenyataan di laman-laman berkenaan.


“Salam Malaysia, kami telah menyaksikan penapisan internet yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang menyekat laman seperti The Pirate Bay dan WikiLeaks. Malaysia adalah antara kerajaan di dunia ini yang paling ketat mengenakan tapisan, hingga sanggup menghalang akses kepada filem dan rancangan televisyen.

“Tidak ada alasan bagi sebarang bentuk penapisan. Awak hanya cuba merampas hak asasi manusia. Internet diadakan untuk kebebasan dan tanpa rasa gentar kepada kerajaan mahupun campur tangannya. Jangan fikir tidak ada orang yang sedar apa yang awak lakukan,” menurut kenyataan dalam bahasa Inggeris itu lagi.

Tambahnya lagi, serangan itu sebagai tanda dan amaran serta peluang bagi mendengar idea pihak lain. Pengodam juga berkata mereka mempunyai tanggungjawab bertindak pantas dan tanpa belas kasihan.

Minggu lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan bahawa 10 laman web termasuk Pirate Bay dan Megaupload telah disekat kerana mencabuli undang-undang hak cipta.


Beberapa laman web Malaysia mula digodam

KUALA LUMPUR 15 Jun - Agensi CyberSecurity Malaysia mengesahkan beberapa laman web di negara ini mula digodam selepas satu kumpulan bergelar anonymous yang mendakwa berpangkalan di luar negara mengancam mengganggu portal rasmi kerajaan di alamat www.malaysia.gov.my.

Aktiviti itu didapati bermula hari ini walaupun kumpulan tersebut mengancam akan memulakannya pada pukul 3.30 pagi Khamis waktu Malaysia atau 7.30 malam waktu Greenwich Mean Time (GMT).

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity, Leftenan Kolonel Datuk Husin Jazri bagaimanapun tidak menyatakan jumlah laman web tempatan yang telah digodam.

"Buat masa ini, kami tidak dapat mengulas lanjut, tetapi percaya proses pembaikan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkenaan bagi menyelesaikan isu itu," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Pegawai Penyelidik F-Secure Corporation, Mikko Hypponen melalui akaun Twitternya menyebarkan mengenai rancangan kumpulan penggodam itu.

F-Secure merupakan syarikat keselamatan perisian komputer yang berpangkalan di Helsinki, Finland.

Beberapa jam kemudian, kumpulan anonymous itu melalui satu video di laman Youtube mendakwa tindakan mereka adalah kerana tidak bersetuju dengan langkah kerajaan Malaysia menapis pelbagai laman web dalam dan luar negara.

"Kami bimbang jika kerajaan Malaysia terus menafikan kebebasan manusia, kami terpaksa bertindak pantas tanpa belas kasihan," kata kumpulan itu melalui satu rakaman suara di Youtube.

Anonymous turut menggunakan wajah Guy Fawkes, salah seorang anggota kumpulan Kristian Katolik, The Gunpowder Plot 1605 yang cuba membunuh Raja England, James I bagi menentang pemerintahan Kristian Katolik, sebagai figura mewakili kumpulan itu.


Kerajaan sedia hadapi serangan siber

KUALA LUMPUR 15 Jun - Malaysia bersedia menghadapi apa jua kemungkinan serangan siber terhadap mana-mana laman web rasmi kerajaan termasuk ancaman daripada kumpulan yang bergelar anonymous.

Meskipun mengakui ancaman itu merupakan sesuatu di luar jangkaan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan laman web kerajaan selamat daripada digodam.

"Kami mengambil perkara itu secara serius. Walaupun ia bukan sesuatu yang dijangka, kami sebenarnya telah berdepan dengan cubaan untuk menggodam laman web kerajaan beberapa kali sebelum ini.

"Maklumat mengenainya telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan. Kami bersedia berdepan menerusi pakar daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta CyberSecurity Malaysia dan beberapa agensi lain," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Baru-baru ini, sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai anonymous menyatakan hasrat untuk menggodam laman web kerajaan kerana mendakwa Malaysia sebagai salah satu negara paling tegas mengenakan sekatan, bukan saja Internet malah tayangan filem dan siaran televisyen.

Mereka merancang melakukan serangan yang dipanggil 'Operasi Malaysia' itu pada pukul 7.30 petang, Rabu waktu GMT (3.30 pagi Khamis waktu Malaysia). Ancaman mereka dimuat naik ke web i.imgur.com/ PTFWh.png Selasa lalu.

Kumpulan sama sebelum ini pernah menyerang laman web kerajaan Zimbabwe, Turki, polis Sepanyol serta memuat naik banyak video lucah ke Youtube sempena satu hari yang digelarkan mereka sebagai Youtube porn day.

Mengulas dakwaan kumpulan itu kononnya Malaysia menyekat hak asasi dengan membuat sekatan tersebut, Rais menganggap kumpulan tersebut mungkin telah tersalah faham akan niat baik kerajaan.

"Kerajaan tidak pernah mengamalkan sekatan, sebaliknya tindakan diambil terhadap laman web tertentu kerana mereka terlibat dengan jenayah," katanya.


1 ulasan:

Blogger berkata...

I'm using Kaspersky security for a couple of years now, and I would recommend this Anti virus to everybody.

Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...